Jangan pinggirkan orang pekak – Menteri Kesihatan
CYBERJAYA – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menggesa supaya masyarakat tidak mengetepikan golongan yang mempunyai masalah pendengaran.
Katanya, beliau meminta agar masyarakat memperkasakan golongan orang kelainan upaya (OKU) pendengaran itu serta menolak stigma dan membuat sebarang stereotaip terhadap mereka.
“Usaha ini memberi peluang kepada anak-anak yang mempunyai masalah pendengaran untuk mendengar dengan lebih baik tanpa direndahkan mereka, seterusnya memperkasakan golongan ini terutama dalam pembelajaran,” katanya dalam ucapan perasmian.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pertandingan Bakat Amal Hear Me’s Got Talent 2024 yang dianjurkan oleh Persatuan Hear Me bagi memperkasa komuniti pekak dan meningkatkan kesedaran masyarakat di sini.
“Dengan adanya Pertunjukan Bakat Amal Hear Me 2024, saya berharap dapat membuka peluang kepada anak-anak dengan masalah pendengaran untuk menunjukkan kemampuan mereka dan membuktikan bahawa mereka juga mampu berjaya seperti anak-anak lain,” katanya.
Dalam pada itu Presiden Persatuan Hear Me, Maryam Sakinah Abang Abdullah berkata, acara amal itu juga untuk mengumpulkan dana bagi membiayai program-program dan aktiviti yang dirancang oleh persatuan kepada anak-anak OKU pendengaran.
Tambah beliau, objektif utama juga adalah memberi platform kepada golongan dengan masalah pendengaran tersebut untuk menonjolkan bakat mereka.
“Acara ini tidak hanya berfungsi sebagai platform untuk menonjolkan bakat, tetapi juga sebagai medium untuk memperkukuhkan hubungan antara ahli persatuan dan golongan profesional,” katanya.
Katanya, ia juga platform kepada perkongsian ilmu dan sokongan moral bagi memperjuangkan hak hidup dan kualiti hidup anak-anak dengan masalah pendengaran.
“Dengan tujuan memperjuangkan hak dan meningkatkan kualiti hidup anak-anak ini, persatuan menyediakan pelbagai program seperti bengkel, seminar pertuturan, serta kempen kesedaran awam,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Presiden Hear Me yang juga merupakan ahli jawatankuasa Quality of Life Care bagi OKU di bawah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, menyatakan acara tersebut adalah kolaborasi bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).