Dua lelaki bawa parang ditahan ketika cuba ceroboh Istana Negara
KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang ditahan polis kerana disyaki cuba menceroboh Istana Negara di sini, semalam.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, kedua-dua suspek menaiki sebuah kereta Perodua Kembara cuba memasuki Istana Negara melalui Pintu 3, kira-kira jam 4.40 petang.
“Anggota polis yang berkawal di pintu masuk menahan kenderaan dinaiki suspek dan suspek memaklumkan mereka mahu berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong.
“Anggota polis di lokasi kemudian melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki mereka dan menjumpai sebilah parang dalam kenderaan terbabit.
“Berikutan itu, kedua-dua lelaki tempatan berusia 29 dan 37 tahun yang menaiki kenderaan itu ditahan untuk siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Rusdi, kedua-dua suspek masing-masing bekerja sebagai buruh binaan dan penghantar makanan.
Keputusan ujian saringan awal air kencing bagi kedua-dua suspek juga negatif dan semakan mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau.
“Kedua-duanya kini direman empat hari bermula hari ini sehingga 21 Mei ini untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958,” ujarnya lagi.
Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti berkaitan kejadian ini, tegas Rusdi.