Jenayah & Mahkamah

Lelaki bermotosikal curi pakaian dalam wanita diburu

BALIK PULAU – Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung seorang lelaki mencuri pakaian dalam wanita di Titi Teras, di sini diminta hadir ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berhubung kejadian itu pada jam 10.30 pagi, 12 Mei lalu.

Katanya, menurut laporan tersebut, kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Solok Titi Teras 1, Taman Titi Height.

“Berdasarkan laporan yang diterima, wanita berkenaan telah menyedari pakaian dalam kepunyaannya yang disidai di ampaian di hadapan rumahnya telah hilang.

“Wanita itu kemudiannya memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya. Di dalam rakaman tersebut, kelihatan seorang lelaki tidak dikenali telah mengambil pakaian dalam miliknya di ampaian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kamarul menambah, suspek kemudiannya beredar dari rumah wanita berkenaan dengan menunggang motosikal.

“Sehubungan itu, kita memohon orang awam yang mempunyai maklumat tentang kes ini supaya tampil di mana-mana balai polis untuk menyalurkan maklumat kepada polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button