Berita Semasa

Kulit paha akan digunakan tutup kesan lecuran dialami Faisal Halim

KUALA LUMPUR – Pakar perubatan akan menggunakan kulit paha pemain Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim bagi menutup kesan lecuran di badannya dalam pembedahan keempat.

Menurut Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair, Faisal akan menjalani proses ‘split skin graft’ (SSG) di mana kulit di bahagian paha atau pinggulnya bakal diambil untuk merawat luka dalam satu pembedahan yang dijangka berlangsung pada Isnin atau Selasa depan.

“Faisal menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan. Jadi dia akan mengharungi prosedur seterusnya pada minggu depan di mana kita akan buat SSG. Insya-Allah proses itu akan dilakukan jika tiada halangan.

“Itu (pemilihan bahagian kulit) bergantung kepada pemeriksaan pakar bedah nanti. Banyak perkara perlu diambil kira antaranya kawasan kulit yang mana yang lebih sesuai dan sihat, jadi ia diputuskan oleh pakar sendiri.

“Cuma kalau kita tengok daripada segi prosedur, selalunya diambil daripada bahagian paha. Tetapi dalam hal ini, kita serahkan pada pakar,” kata Hazwan, memetik Harian Metro hari ini.

Jelas Hazwan lagi, kegunaan ‘skin allograft’ sebelum ini menunjukkan perkembangan positif di mana pakar perubatan mendapati tiadanya tindak balas kesan asid itu terhadap ‘skin allograft’ itu.

Katanya lagi, beliau membayangkan pembedahan keempat yang bakal dilalui nanti mungkin menjadi prosedur terakhir buat Faisal.

“Berdasarkan kata dari pakar, buat sementara waktu, itulah (empat pembedahan) yang dirancang. Tiada kata lagi mengenai prosedur tambahan kerana kita kita lihat perkembangan Faisal juga. Apapun, perkembangan Faisal sangat memberangsangkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar menegaskan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sentiasa mengikuti rapat perkembangan kes membabitkan bintang bola sepak negara, Faisal Halim ketika ini.

Jelas Shahril, Sultan Sharafuddin yang juga Penaung Selangor FC berhak untuk mengetahui perkembangan Faisal termasuk proses rawatan dilalui serta siasatan pihak berkuasa.

“Saya bila tuanku sultan dah bertitah, maknanya yang pertama tuanku sultan ini fokus terhadap isu ini. Saya rasa baginda tahu apa yang perlu dilakukan. Itu hak tuanku sultan, hak baginda selaku Penaung Selangor FC.

“Saya yakin tuanku sultan sendiri telah dimaklumkan tentang perkara ini, dan Alhamdulillah tuanku sultan selaku penaung banyak membantu pihak kelab,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button