Kesediaan Ocean Infinity teruskan pencarian MH370 dibawa ke Kabinet Ogos depan
SEREMBAN – Kesediaan firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity meneruskan pencarian pesawat MH370 sejak 8 Mac 2014 akan dibawa ke Kabinet pada Ogos depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagaimanapun berkata, pihaknya perlu menyiapkan kertas cadangan secara terperinci terlebih dahulu sebelum ia dibentangkan.
“Setakat ini, kita belum buat keputusan lagi kerana kertas cadangan belum dibawa ke Kabinet.
“Ia perlukan masa sebab kita memerlukan kertas cadangan daripada mereka (Ocean Infinity) dulu sebelum menyediakan kertas cadangan untuk dibawa kepada Kabinet.
“Ia (kertas cadangan) akan naik (dibawa) ke Kabinet pada Ogos nanti untuk dipertimbangkan,” katanya selepas merasmikan dewan baharu terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Sheikh Ahmad, Sikamat di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin dan Pengetua sekolah, Datin Ramadhawati Wahab.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan meneliti cadangan Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian pesawat MH370.
Ocean Infinity dilaporkan menyatakan kesediaan mereka untuk memulakan misi pencarian pada November tahun ini.
Bagaimanapun, perkara itu perlu melalui beberapa proses dan mendapat kelulusan daripada Kabinet.
Kerajaan perlu membuat beberapa langkah antaranya perbincangan lanjut berkaitan maklumat yang diberikan, selain mewujudkan perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan Ocean Infinity.