KKM rai 18 kakitangan menang anugerah khidmat cemerlang
PUTRAJAYA – Seramai 18 orang pegawai dan kakitangan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diraikan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023, di sini hari ini.
Menurut KKM, majlis berkenaan diadakan bagi meraikan kejayaan kakaitangan MDA yang telah melakukan pelbagai penambahbaikan sejak tahun lepas dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan.
“Majlis seumpama ini merupakan pemangkin bagi mendorong warga MDA sentiasa meningkatkan potensi diri melalui penyampaian prestasi kerja menerusi penambahbaikan, berinovasi selain sentiasa berusaha melakukan perubahan secara berterusan dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh semua penerima ini akan menjadi contoh dan teladan kepada seluruh warga MDA serta memberi yang positif ke arah kecemerlangan organisasi ini dan KKM secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Selain itu, majlis yang diadakan di ibu pejabat KKM itu turut menyaksikan penyampaian cek zakat kepada Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur sebagai salah satu usaha Corporate Social Responsibility (CSR) MDA.
Pelancaran Buku Pelan Strategik MDA 2024-2028 juga telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad sebagai usaha mentransformasikan MDA ke arah regulatori bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut meraikan rakan-rakan media MDA melalui Anugerah Media MDA 2023 yang telah dimenangi oleh Akhbar The Star bagi kategori Akhbar, BERNAMA Radio bagi kategori Radio serta BERNAMA TV bagi kategori Televisyen.
“Penghargaan ini merupakan usaha MDA dalam menghargai kerjasama rakan-rakan media dalam mempromosi dan memberi kesedaran kepada orang awam tentang perkembangan regulatori peranti perubatan,” ujarnya.