Piala Thomas 2024: 15 lokasi skrin besar tayang aksi Malaysia vs China esok
KUALA LUMPUR – Peminat badminton tanah air boleh menyaksikan aksi pemain negara menentang China dalam separuh akhir Piala Thomas 2024 di 15 lokasi skrin besar di seluruh negara, esok.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, antara lokasi skrin besar anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tersebut adalah di Dataran Putrajaya dan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.
Beliau turut menitipkan kata-kata semangat bagi mengajak orang ramai turut sama menyaksikan aksi separuh akhir tersebut yang dijadualkan berlangsung pada pukul 5 petang.
“Come out and cheer for our boys this Saturday! (Marilah kita sama-sama bersorak untuk skuad negara pada Sabtu ini!),” katanya di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Semalam, Malaysia berjaya mara ke separuh akhir Piala Thomas 2024 setelah menyingkirkan bekas juara edisi 2014, Jepun 3-1 di Pusat Sukan Chengdu Hi-Tech Zone, China.
Sementara itu, China melangkah ke separuh akhir selepas mengalahkan juara bertahan, India 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir semalam.
Senarai 15 lokasi tayangan skrin besar:
1. Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
2. Dataran Putrajaya, Presint 3, Putrajaya
3. SACC Mall, Shah Alam, Selangor
4. Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar, Perlis
5. Kompleks Belia & Sukan Negeri Kedah, Alor Setar
6. Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Perak
7. Kompleks Belia & Sukan Negeri Sembilan, Paroi
8. Dataran Bandaraya MBMB, Ayer Keroh, Melaka
9. Toppen Shopping Centre, Johor Bahru, Johor
10. Dataran Kolej Polytech Mara, Kota Bharu, Kelantan
11. Ali Spices Kampung Ladang Tanjung, Kuala Terengganu, Terengganu
12. Padang MBK 1, Kuantan, Pahang
13. Kompleks Belia & Sukan Negeri Sarawak, Kuching
14. Kompleks Belia & Sukan Negeri Sabah, Putatan
15. Gelanggang Futsal Hassan Sani, Kompleks Sukan Labuan, Sabah