Berita Semasa

LRT teknologi Maglev tidak sesuai di Langkawi

ALOR SETAR – Cadangan pembinaan perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) berteknologi Maglev tidak sesuai untuk dibangunkan di Langkawi kerana faktor geografi dan jumlah penduduk yang tidak ramai.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembinaan LRT di pulau pelancongan itu juga bukan satu keperluan kerana sudah mempunyai pelbagai jenis pengangkutan dan tawaran kenderaan sewa yang tinggi.

“Kelmarin mereka umum (cadangan tren LRT), hari ini kita tengok komen daripada profesional, teknokrat dan ahli akademik pun memang bagi sesuatu (pandangan) yang agak negatif.

“Dengan kedudukan pulau dan populasi yang ada, kemudian dengan perkhidmatan e-hailing dan kereta sewa, kita perlu lihat semua ini,” katanya selepas Majlis Tautan Kasih Sepetang Bersama Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Kedah, semalam.

Mahdzir berkata, kerajaan negeri perlu lebih berhati-hati dalam pengumuman projek yang sewajarnya dibuat dengan penelitian terlebih dahulu.

Isnin lalu, Kedah mengumumkan cadangan membina sistem tren LRT menggunakan teknologi levitasi magnet di Langkawi.

EXCO Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, syarikat Royal Eco Train Development (RETD) dari Korea Selatan dipilih untuk melaksanakan kajian projek yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

Show More

Related Articles

Back to top button