Berita Semasa

Ribuan berarak bantah tindakan ahli politik Sweden bakar al-Quran

KUALA LUMPUR – Kira-kira 1,000 pembantah berarak dan mengadakan perhimpunan aman di hadapan Kedutaan Sweden hari ini bagi mengutuk perbuatan ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan, membakar al-Quran, baru-baru ini.

Perarakan dimulakan dari Masjid As-Syakirin KLCC selepas selesai solat Jumaat, hari ini.

Di sepanjang perarakan, laungan “Jahanan Sweden”, “Hidup Islam”, dan “Bangkit Melayu” turut kedengaran.

Antara yang turut sama menyertai perarakan bantahan tersebut adalah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

“Kita nak tunjuk seluruh dunia dan kerajaan Sweden, perbuatan ahli politik mereka telah menyakitkan perasaan kita,” kata Ahmad Faizal ketika berucap.

“Kita tak ada masalah dengan rakyat mereka, kita ada masalah dengan perbuatan pemimpin mereka yang menyakitkan umat Islam,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nazir Helmi berkata, empat wakil dibenarkan masuk ke kedutaan tersebut bagi menyerahkan memorandum tersebut.

Selain Helmi, penyerahan memorandum tersebut turut disertai oleh Ketua Penerangan Armada, Ashraf Mustakim; seorang wakil mahasiswa; dan selebriti Caprice mewakili netizen.

Pada 21 Jan lalu, Paludan membakar al-Quran ketika tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden.

Alasan yang dikemukakan adalah kerana Presiden Turkiye cuba mempengaruhi mempengaruhi kebebasan bersuara di Sweden.

Show More

Related Articles

Back to top button