Kes tembak KLIA, reman suspek disambung lima hari lagi
KOTA BHARU – Suspek utama kejadian melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, pada 14 April lalu, disambung reman lima hari.
Reman terhadap Hafizul Hawari, 38, dikeluarkan Mahkamah Majistret Kota Bharu, bermula esok sehingga Sabtu iaitu 27 April.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Tempoh reman selama seminggu yang bermula pada 16 April sebelum ini, tamat hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1.20 pagi 14 April lalu, suspek dipercayai melepaskan dua das tembakan di balai ketibaan yang terletak di aras tiga KLIA.
Suspek dipercayai cuba menembak isterinya dengan menggunakan sepucuk pistol ketika wanita itu menunggu jemaah umrah pulang dari Tanah Suci di Balai Ketibaan Antarabangsa bersama dua pengawal peribadi.
Bagaimanapun, salah satu das tembakan itu mengenai pengawal peribadi isteri suspek dan suspek berjaya ditahan di Jalan Bayam, di sini, selepas 36 jam melarikan diri.