Hampir gulung tikar, usahawan emas ini tidak patah semangat, bangkit cari alternatif lain
KUALA LUMPUR – Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran sehingga hampir gulung tikar, namun ia tidak mematahkan semangat pemilik Kedai Emas Perling, Nurul Aini Muslim untuk terus menceburi bidang perniagaan emas.
Menurut Nurul Aini, cara yang terbaik untuk pihaknya mengatasi masalah tersebut adalah dengan beroperasi secara dalam talian yang sekali gus telah membantu mengembangkan lagi perniagaannya.
Jelas Nurul Aini, dia akan terus mempraktikkan ilmu baharu agar perniagaannya akan terus mendapat tempat dalam kalangan pengguna di negara ini.
“Pada bulan September tahun lalu, jualan mengalami kejatuhan 30 peratus dan saya tak mampu membayar gaji pekerja. Saya terfikir untuk tutup kedai dan berniaga di tepi jalan.
“Namun saya bertekad dan cuba ubah strategi perniagaan mengikut arus semasa, lebih aktif di talian. Sebelum ini kami hanya ada bergantung kepada kedai fizikal jadi jumlah pelanggan agak terhad.
“Saya perkuatkan tulang belakang dengan terlibat dalam semua saluran pemasaran, malah ada yang menguruskan jualan di atas talian dan syukur selepas beberapa bulan, momentum jualan bergerak lancar. kini kami dalam fasa pergiat tambah sasaran jualan,” katanya ketika ditemui pada program Kedai Emas Perling Prihatin.
Terdahulu, Kedai Emas Perling memberi telah menghulurkan sumbangan 1,000 kampit beras dan bubur lambuk dalam usaha membantu mereka yang memerlukan menjelang Aidilfitri ini.
Kata Nurul Aini, program tersebut bertujuan untuk meringankan beban mereka di masa yang sukar dan memperlihatkan komitmen pihaknya dalam memberi kembali kepada masyarakat.
“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada inisiatif kami untuk menyokong komuniti tempatan, terutama mereka yang menghadapi cabaran ekonomi.
“Dan kami memilih untuk sumbangkan beras kerana faham akan harganya yang semakin mahal, jadi kempen ini sedikit sebanyak dapat membantu,” katanya.
Nurul Aini pada masa yang sama menzahirkan rasa syukur di kala keadaan ekonomi yang tidak menentu, namun perniagannya masih berada pada landasan yang selamat.
“Alhamdulillah dengan ilmu yang betul dan pentingnya mengikut perkembangan semasa, jumlah jualan kami semakin meningkat setiap bulan.
“Malah jenama Kedai Emas Perling juga semakin dikenali dan sebab itu kami mahu berkongsi rezeki yang diberi dengan mereka yang memerlukan,” katanya lagi.