Imigresen tumpas sindiket ejen pekerjaan
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket pekerja asing dalam satu operasi khas pada 1.30 petang semalam.
Operasi melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Roslin Jusoh berkata, berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan berjaya mengesan dan mengekori suspek di sekitar Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Katanya, pasukan berjaya menahan dua orang suspek utama iaitu seorang lelaki warganegara Myanmar dan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 50 hingga 52 tahun yang disyaki sebagai ‘dalang utama’.
“Hasil semakan awal mendapati suspek adalah warganegara Myanmar yang berstatus Pemastautin Tetap (PR) dan warganegara Bangladesh yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi Sektor Perkhidmatan yang masih sah laku.
“Kedua-dua suspek ini telah berkahwin dengan warganegara Malaysia.
“Pasukan operasi telah merampas wang tunai sebanyak RM91,550.00, 12 naskhah pasport Bangladesh, senaskhah pasport Indonesia, dokumen syarikat, dokumen permohonan program Rekablirasi Tenaga Kerja (RTK) dan tiga unit telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruslin berkata, sindiket menjalankan aktiviti sebagai ejen pekerja asing bagi program RTK 2.0 dengan mensasarkan warganegara seperti Bangladesh dan Indonesia.
“Sindiket ini menawarkan perkhidmatan seperti urusan pendaftaran permohonan program RTK 2.0 di Pejabat Imigresen dan dipercayai telah menjalankan operasi selama satu tahun.
“Bayaran yang dikenakan bagi setiap pekerja asing ini di antara RM1,500 hingga RM2,000,” katanya.
Kedua-dua suspek ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Seramai dua orang lelaki dan seorang perempuan warganegara Malaysia diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966,
Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).