Bisnes & Ekonomi

CBP perkenal perkhidmatan beli Takaful Kenderaan dan Cukai Jalan secara atas talian

KUALA LUMPUR – Coopbank Pertama (CBP) hari ini mengumumkan perkhidmatan pembelian Takaful Kenderaan dan Cukai Jalan secara atas talian.

Ketua Pegawai Komersial CBP, Mohd Faris Kamaruddin berkata, pengenalan perkhidmatan baharu ini bertepatan dengan perkembangan CBP yang menawarkan perbankan secara digital.

“Melalui perkhidmatan ini, pelanggan bukan sahaja dapat memilih syarikat takaful yang menawarkan perlindungan yang terbaik pada harga terendah, malah pelanggan juga boleh terus memperbaharui Cukai Jalan kenderaan mereka di dalam satu platform yang sama,” kata Mohd Faris dalam satu kenyataan, hari ini.

Perkhidmatan ini akan memudahkan pelanggan kerana mereka mempunyai pilihan membuat bayaran sama ada menerusi akaun bank atau menggunakan kad kredit.

“Pelanggan hanya memerlukan beberapa minit sahaja masa untuk melengkapkan transaksi pembelian Takaful Kenderaan dan Cukai Jalan mereka dengan menggunakan platform ini.

“Perkhidmatan ini disediakan dengan kerjasama rakan strategik digital CBP iaitu Sedania As Salam dan pengendali platform digital, Senang,” katanya lagi.

Bagi menggunakan perkhidmatan ini, pelanggan hanya perlu melawat laman sesawang CBP ataupun mengimbas kod QR yang terdapat di cawangan CBP di seluruh negara, atau menerusi pautan yang dikongsi melalui media sosial CBP.

“CBP yakin perkhidmatan terbaru ini akan menarik minat lebih ramai pelanggan dan anggota CBP untuk membeli Takaful Kenderaan dan memperbaharui Cukai Jalan mereka bersama CBP,” kata Mohd Faris sambil menambah, pihaknya menjangkakan perkhidmatan ini akan memberi manfaat kepada lebih 400,000 pelanggan.

Show More

Related Articles

Back to top button