Kilang edar stoking kalimah Allah diperiksa pagi tadi
BATU PAHAT – Pemeriksaan polis ke atas kilang Xin Jian Chang Sdn. Bhd, yang mengedar stoking tertera kalimah Allah kepada rangkaian kedai serbaneka KK Mart, hanya menemukan lima pasang stoking jenis Miranosock yang dibawa masuk dari China.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lima pasang stoking tersebut adalah stok yang dipulangkan oleh KK Mart Sunway selepas isu tersebut mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
Beliau berkata, operasi yang dianggotai oleh 40 anggota dari Ibu Pejabat Kontinjen Johor dan Ibu Pejabat Daerah Batu Pahat itu mendapat kerjasama baik dari pihak kilang.
“Siasatan mendapati stoking berkenaan telah ditempah dari China dan pihak kilang hanya terlibat dalam membungkus dan mengedar stoking untuk pasaran.
“Polis masih dalam proses memeriksa kira-kira 18,800 pasang stoking dalam 16 bungkusan ‘bundle’ yang dibawa masuk dari China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998 oleh Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman.
Sehubungan itu, orang ramai juga diminta tidak membuat tindakan yang menyalahi undang-undang seperti perhimpunan atau demostrasi berkaitan iu ini yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.