Berita Semasa

Tuntutan UTC : Hajiji sambut baik ketegasan kerajaan

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri menyambut baik pendirian kerajaan untuk menolak tuntutan terbaharu oleh kumpulan Sulu yang dikenali sebagai United Tausug Citizens (UTC) terhadap Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan kerajaan pusat untuk tidak tunduk melayan dakwaan kumpulan terbabit selari dengan pendirian rakyat Sabah yang telah memilih untuk bersama-sama menyertai Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata, tuntutan kumpulan yang mendakwa sebagai penjaga sah wilayah Kesultanan Sulu itu sama seperti mempersoalkan kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

“Rakyat Sabah telah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), oleh itu sebarang tuntutan luar terhadap negeri Sabah tidak akan diiktiraf oleh Kerajaan Negeri mahupun rakyat.

“Malah tuntutan pihak mendakwa pewaris Kesultanan Sulu yang tidak berfungsi serta tidak berasas itu sebelum ini berakhir dengan pemenjaraan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa.

“Dakwaan UTC atau mana-mana kumpulan ke atas Sabah tidak lain hanya satu percubaan remeh semata-mata untuk mengganggu gugat keamanan negeri dan ia sama juga dengan mengancam kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said semalam menyifatkan tuntutan terbaharu yang cuba dibuat oleh UTC sebagai remeh dan tidak perlu dilayan.

Dalam tuntutan terbaharu itu, UTC mengemukakan dua tuntutan iaitu meminta Malaysia membayar segera wang penyerahan sebanyak AS$15 bilion dan mengiktiraf UTC sebagai sebuah kerajaan merdeka dan berdaulat.

Kumpulan itu juga mengancam untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Malaysia di Amerika Syarikat.

“Ini cubaan terbaharu yang tidak berasas oleh sebuah kumpulan untuk menuntut kedaulatan wilayah Malaysia dan untuk memeras ugut bayaran yang tidak berasas daripada Malaysia,” kata Azalina.

Azalina berkata, sebelum ini Malaysia berjaya mengalahkan cubaan sama yang dibuat di Eropah oleh pihak mendakwa waris Sultan Jamalul Kiram II berdasarkan anugerah timbang tara yang menipu dikeluarkan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa.

Show More

Related Articles

Back to top button