Ada sampai melacur, NGO desak pengeluaran KWSP RM50,000
PUTRAJAYA – Ada sampai membunuh diri, melacur dan meminjam Ah Long. Itu antara desakan hidup ditanggung rakyat negara ini akibat kemelesetan ekonomi kesan daripada penularan pandemik Covid-19 yang lalu.
Rentetan situasi yang semakin mendesak, pengendali akaun TikTok ‘Wakil Rakyat Netizen’ hari ini menyerahkan memorandum mendesak kerajaan membenar dan meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kadar maksimum RM50,000.
Memorandum di atas nama Persatuan Disiplin Dan Kaunseling Kebangsaan itu diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri di sini.
Pemilik akaun TikTok ‘Wakil Rakyat Netizen’ yang memperjuangkan hak pencarum, Jannahtul Ain Jaafar berkata, gesaan kepada Perdana Menteri itu diharap akan dipertimbangkan sebaiknya demi kelangsungan hidup masyarakat yang semakin dihimpit kemiskinan.
“Antara sebab desakan ini dibuat adalah kerana rakyat sudah tidak mempunyai jalan lain untuk mengatasi masalah kewangan yang ditanggung mereka.
“Antara luahan pencarum yang diterima oleh persatuan adalah terpaksa melacur kerana mahukan wang segera setelah dihalau dari rumah sewa, yang mahu membunuh diri dan terpaksa berhutang dengan pemberi pinjaman wang haram.
“Semuanya kerana hilang arah dan tertekan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan memorandum yang ditandatangani lebih 319,000 penama,” katanya kepada pemberita di luar bangunan Perdana Putra hari ini.
Hadir sama Pengerusi Persatuan Disiplin Dan Kaunseling Kebangsaan, Hairulanuar Md. Moktar.
Mengulas mengenai jumlah RM50,000 yang dinyatakan dalam memorandum tersebut, Jannahtul Ain berkata, jumlah itu adalah kadar maksimum yang diharap akan dipertimbangkan kerajaan kerana ramai pencarum menanggung hutang dan beban perbelanjaan yang terlalu tinggi.
“Kami mencadangkan kadar pengeluaran sebanyak 50 peratus daripada akaun 1 atau maksimum RM50,000.
“Jumlah ini dirasakan wajar kerana RM10,000 seperti sebelum ini agak terhad untuk kegunaan pencarum dalam keadaan ekonomi sekarang,” katanya.
Beliau berkata, pengeluaran jumlah yang lebih besar itu perlu untuk mereka yang menanggung perbelanjaan yang besar seperti hutang perniagaan atau kos rawatan penyakit kronik.
Justeru, beliau menyerahkan kebijaksanaan dan keprihatinan Perdana Menteri untuk menilai suara hati rakyat terutama dalam kalangan B40.
“Alhamdulillah memorandum ini telah diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, En Farhan Fauzi pada pukul 11.30 pagi ini.
” Kami juga berharap permintaan kami untuk mengeluarkan wang simpanan sendiri ini diluluskan Perdana Menteri dan tidak perlu lagi datang ke sini,” katanya.