Di mana menteri, mengapa Pengerusi NACCOL umum harga beras? – soal Radzi Jidin
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin mempersoalkan mengapa Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), Datuk Seri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengumumkan harga siling bagi beras putih dan bukannya dibuat oleh menteri bertanggungjawab.
Radzi berkata, pengumuman itu telah membuatkan rakyat keliru kerana pengumuman itu merupakan satu langkah besar.
“Mana Menteri yang bertanggungjawab? Mengapa Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL yang umum keputusan? Ramai pihak yang keliru dengan pengumuman yang dibuat.
“Tambah mengelirukan, pagi ini, Perdana Menteri menyatakan bahawa harga kawalan beras akan dibincangkan dalam mesyuarat NACCOL minggu hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Radzi berkata, pengumuman terbaharu oleh Perdana Menteri itu juga membuatkan rakyat keliru kerana Pengerusi NACCOL berkata ia telah dipersetujui oleh Perdana Menteri dan harga baharu akan berkuatkuasa pada hari Isnin ini.
“Hari Jumaat pula Perdana Menteri kata harga kawalan beras akan dibincang minggu hadapan dan yakin boleh dikurangkan.
“Mana satu yang betul sebenarnya? Ini bukan kali pertama berlaku sebegini. Di luar sana, pihak industri tertanya-tanya, apa sebenarnya hendak dilaksanakan oleh kerajaan,” ujarnya.
Kelmarin Syed Abu Hussin turut mengumumkan kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10 kg manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg), berkuat kuasa Isnin ini.
Syed Hussin berkata, pengguna boleh mendapatkan bekalan beras putih berharga RM30/kampit di pasaran mulai 1 Mac.