Kes Nik Elin: Bukan berkaitan Islam tercabar, YADIM seru umat Islam bertenang
PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyeru semua umat Islam bertenang dan berlapang dadad alam menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuant terhadap Petisyen Nik Elin esok.
Menurut Yang Dipertuanya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, pihaknya percaya Majlis Raja-Raja bersama dengan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil tindakan proaktif selepas daripada keputusan kes ini.
Beliau berkata, ia adalah untuk memastikan pentadbiran agama Islam berada di landasan yang tepat menurut undang-undang dan Perlembagaan negara.
“YADIM percaya bahawa isu sebenar dalam kes Nik Elin ini sebenarnya bukanlah berkaitan dengan mencabar kedaulatan Islam atau suatu pencerobohan ke atas bidang kuasa Mahkamah Syariah tetapi sebenarnya adalah satu ujian kepada prinsip Federalisme.
“Yang mana Mahkamah Persekutuan kelak akan memutuskan undang-undang mana yang sepatutnya digubal oleh Parlimen dan undang-undang mana yang sepatutnya digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ini selari dengan apa yang disebut
oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam ucapan pembukaan Opening of Legal Year 2024 pada 15 Januari lalu yang menyatakan bahawa kes-kes ini tiada kaitan dengan prinsip sebenar agama Islam. Mereka hanya mencari satu kepastian
mengenai pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Esok Mahkamah Persekutuan akan memberikan keputusan mengenai kes petisyen yang dikemukakan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.
Dalam pada itu katanya, YADIM berpandangan bahawa apa jua keputusan tersebut tidak akan melemahkan Mahkamah Syariah sebaliknya keputusan itu akan memberikan satu titik kepastian mengenai kompetensi DUN untuk menggubal sesuatu undang-undang berkaitan agama Islam.
“Keputusan ini juga akan memastikan Mahkamah Syariah akan berada di landasan yang sepatutnya menurut Perlembagaan Persekutuan dan sekaligus akan mengelakkan sebarang keputusan Mahkamah Syariah dicabar pada masa hadapan seperti yang pernah berlaku dalam kes Iki Putra Mubarrak lawan Kerajaan Negeri Selangor Anor [2021] 2 MLJ 323 dan kes SIS Forum (M) dan Kerajaan Negeri Selangor (Majlis Agama Islam Selangor, intervener) [2022] 2 MLJ
356.
“YADIM percaya bahawa sistem keadilan di Malaysia masih tetap utuh berpaksikan
kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.