Langgar polis, pasangan tunang direman tujuh hari
IPOH – Pasangan tunang yang ditahan selepas disyaki melanggar seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal hingga parah Ahad lalu, direman selama tujuh hari.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 33 tahun dan wanita berusia 34 tahun itu bermula Selasa hingga Isnin depan bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera parah dengan niat membunuh.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Nora Sharif di Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota polis parah dilanggar sebuah kereta ketika menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, di sini kelmarin.
Dalam kejadian sekitar jam 7.30 malam itu, suspek telah bertindak melanggar mangsa sebanyak dua kali dengan mengundur kenderaan sebelum memecut laju untuk melarikan diri.
Anggota berusia 34 tahun itu yang mengalami patah tulang rusuk dan tulang bahu kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Susulan kejadian itu, pasangan kekasih warga tempatan itu berjaya ditangkap di Tanjung Rambutan dalam tempoh kurang 24 jam.