Berita Semasa

Perangi rasuah perlu bermula dengan jerung – PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan usaha untuk memerangi rasuah perlu bermula dengan menghukum jerung-jerung sebagai satu pengajaran supaya hal ini tidak lagi berulang.

Perdana Menteri berkata, jika sekadar memenjarakan watak-watak kecil, ia akhirnya hanya menjadi gimik dan sandiwara.

“Namun pasti usaha ini akan diselubungi kontroversi. Tentunya seseorang yang punya kekayaan berpuluh bilion tidak akan berdiam diri apabila disiasat dan akan menggunakan segala pengaruhnya untuk melawan.

“Tetapi jika kita berhenti bertindak kerana pengaruhnya, maka tidak layak kita menjadi pemimpin yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga negara. Risiko perlu dihadapi kerana utamanya adalah negara mesti diselamatkan,” katanya.

Terdahulu Anwar menyempurnakan Program Penggerak Madani Negeri Sembilan di Kem Wawasan Negara Ulu Sepri, Negeri Sembilan.

Anwar berkata, negara ini memerlukan satu anjakan yang ketara menerusi dasar-dasar yang digariskan di bawah gagasan Madani untuk memperbetulkan kebobrokan sistem pentadbiran yang berlaku sejak sekian lama.

“Madani menekankan soal ihsan, akhlak, kemanusiaan dan keadilan bagi merawat keterhakisan nilai-nilai ini akibat kemajuan material sehinggakan kita sanggup membiarkan pimpinan yang rasuah terus bermaharajalela sejak sekian lama.

“Anjakan ini perlu bermula dengan membina semula tatakelola yang baik serta semangat menolak rasuah. Kerana itu kerajaan ini sedaya upaya menoktahkan budaya mengizinkan kuasa dan sistem pemerintahan dijadikan kesempatan memunggah kekayaan untuk tokoh-tokoh tertentu.

“Justeru, saya mohon dukungan rakyat untuk bersama-sama berpegang pada prinsip ini. Moga usaha ini membersihkan negara daripada amalan bobrok, sekali gus mengangkat martabat Malaysia,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button