Wallace sifatkan kejayaan rangkul naib juara di Oman pencapaian tertinggi hoki negara
KUALA LUMPUR – Meskipun skuad Hoki 5 sebelah (5s) lelaki kebangsaan gagal menjadi juara sulung Piala Dunia Hoki 5s, ia merupakan pencapaian tertinggi bagi sukan hoki di Malaysia.
Menurut Ketua jurulatih skuad Hoki 5s lelaki kebangsaan Wallace Tan, pasukan kebangsaan sudah memberikan aksi yang terbaik pada perlawanan akhir tersebut.
“Untuk pentas Piala Dunia, ini merupakan satu pencapaian tertinggi dan terbaik untuk hoki Malaysia. Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan kepada pasukan kami,” katanya menerusi video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kepada media.
Pasukan kebangsaan terpaksa akur selepas tewas 2-5 kepada pasukan gergasi dunia, Belanda pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Oman awal pagi tadi.
Sepanjang kejohanan berlangsung, Malaysia menampilkan aksi yang cukup cemerlang dengan menang kesemua perlawanan sebelum menuju ke pentas final.
Sementara itu, sebagai tanda penghargaan kerja keras dilakukan pemain-pemain negara, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal sudah menjanjikan imbuhan sebaik mereka tiba ke tanah air.