Berita Semasa

Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel bakal meriahkan Wacana Srikandi

SHAH ALAM – Penyanyi terkenal tanah air, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel antara artis yang bakal memeriahkan program Wacana Srikandi anjuran SACC Convec Sdn Bhd (SCSB) pada 5 Mac depan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SCSB, Azlina Amran, selain menampilkan artis terkenal, program tersebut juga turut bakal dihadiri tiga ikon ushawan wanita yang akan mengupas mengenai isu ekonomi dan sosial.

“Ikon wanita tersebut ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Chatime Malaysia, Aliza Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Avenys Malaysia Sdn Bhd, Aleeya Zailan dan penerima Anugerah Inspirasi Pesona Wanita Johor, Masitah Mohd Affandy,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Wacana Srikandi sempena Hari Wanita yang diadakan di SACC di sini semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif SACC Convec Sdn Bhd Nor Azlina Amran.

Lebih menarik, wacana yang akan dihoskan oleh Fedtri Yahya itu juga akan dirasmikan oleh Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Mengulas lanjut, Azlina berkata, program tersebut bertujuan untuk memperingati peranan wanita dalam pelbagai bidang dan member inspirasi kepada generasi baharu untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya mereka.

“Dengan tema ‘Memperkasakan Wanita, Mengarus Perdana Gender’, program ini menawarkan pelbagai acara menarik yang akan menyentuh aspek keusahawanan, seni dan pembangunan diri,” katanya lagi.

Sebagai rekod, penaja utama program tersebut ialah PKNS, Menteri Besar Incorparated, Worldwide Holdings Berhad, Selgate Corporation, Argania, Ferraflora dan kerjasama Thrillerz dan www.myticket.asia.

Dalam pada itu, kepada mereka yang berminat untuk menghadiri program Wacana Srikandi boleh melakukan pembelian tiket menerusi pautan : www.myticket.asia

Show More

Related Articles

Back to top button