SPRM di peringkat akhir siapkan kertas siasatan kes rasuah KFA
PUTRAJAYA – Proses melengkapkan kertas siasatan berhubung rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kini berada di peringkat akhir.
Pengarah Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, tujuan pihaknya memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi memberi keterangan hari ini juga adalah sebahagian daripada proses melengkapkan siasatan tersebut.
“Butiran terperinci berkaitan siasatan tidak dapat didedahkan kepada umum kerana ia mengandungi maklumat sensitif dan rahsia,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Terdahulu, Muhammad Sanusi selesai memberi keterangan kepada SPRM selepas hampir tiga jam berada di dalan bangunan ibupejabat tersebut.
Kenderaan membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu tiba di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 8.30 pagi sebelum dilihat beredar pada kira-kira pukul 11.37 pagi.
Laporan media kelmarin menyebut, SPRM akan memanggil Muhammad Sanusi dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan KFA.
Siasatan tersebut dibuat setelah SPRM menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan projek-projek di Kedah jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan.
Pada 7 Januari lalu, Muhammad Sanusi mendakwa, wang RM6 juta yang dikaitkan dalam isu rasuah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) adalah sumbangan sebuah syarikat.
Beliau yang juga Presiden KFA berkata, syarikat terbabit mempunyai konsesi projek loji rawatan air di negeri ini dan berharap konsesi itu akan disambung.
Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan negeri tidak menyambung konsensi syarikat itu dan syarikat terbabit kemudian meminta wang sumbangan RM6 juta itu dipulangkan semula.
Sebelum ini, SPRM menahan reman empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA masing-masing berusia 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM6 juta.