Rencana

Harta pusaka: Antara persahabatan dan perniagaan, hitam putih perlu dijelaskan

SELAMAT Tahun Baharu 2024 kepada semua pembaca setia ruangan hal ehwal pusaka dalam portal berita Malaysia Tribune. Sedar tidak sedar usia kita juga semakin bertambah tahun demi tahun.

Sudah pasti pelbagai perkara pahit dan manis berlaku sepanjang tahun 2023. Ada yang menerima orang baharu, bergelar pasangan suami isteri, naik pangkat dan sebagainya. Malah ada yang berhadapan dengan kenangan pahit termasuk kehilangan orang tersayang.

Beberapa hari sebelum kedatangan tahun baharu, seorang rakan media sosial penulis telah kehilangan ayah tercinta. Al-fatihah kepada Allahyarham dan semoga rohnya ditempatkan bersama golongan beriman.

Pada awalnya semuanya berada dalam keadaan baik-baik sahaja sehinggalah beberapa hari kemudian apabila anak kepada Allahyarham membangkitkan mengenai satu perniagaan kedai makan yang dikongsi oleh ayahnya bersama seorang lagi rakan niaga.

Apa yang menjadi isu sekarang ialah apabila perjanjian mengenai perniagaan tersebut tiada hitam putih dan hanya diketahui oleh mereka berdua sahaja tanpa pengetahuan anak-anak. Di sini mula timbul isu apabila anak-anak mula membangkitkan mengenai peninggalan ayah mereka itu.

Walaupun pada zaman kini segala maklumat hanya di hujung jari, isu harta pusaka yang tidak diurus semasa hayat terus menjadi isu utama sehingga menimbulkan masalah kepada waris.

Lebih-lebih lagi apabila perniagaan berkenaan melibatkan rakan niaga yang lain dan hanya dijalankan secara kecil-kecilan di kampung. Justeru, setiap perkara melibatkan perjanjian hitam putih perlu diberi perhatian bagi mengelak masalah ketidakpuasan hati berbangkit pada masa hadapan.

PERSAHABATAN DAN PERNIAGAAN

Dalam kehidupan seharian sudah pasti kita akan memilih rakan baik atau sahabat sebagai rakan niaga kerana mempunyai persamaan, minat dan mudah berkongsi pelbagai perkara. Namun begitu, hanya bergantung kepada nilai persahabatan sahaja tidak menjamin apa-apa kerana manusia mudah berubah.

Ketiadaan perjanjian hitam putih yang mengawal dan membimbing hubungan perniagaan ini boleh memakan diri. Ketiadaan panduan formal boleh mengakibatkan ketidakpastian dan kekeliruan dalam membuat keputusan bersama, ia meletakkan cabaran pada kelangsungan perniagaan yang sebelumnya berjaya.

Ketiadaan perjanjian hitam putih bukan sahaja mencetuskan ketidakpastian, tetapi juga menghalang pertumbuhan dan kestabilan perniagaan walaupun hanya berstatus perniagaan kampung. Keadaan ini menguji daya tahan dan kreativiti peniaga untuk terus bersaing dalam pasaran yang serba mencabar.

KONFLIK HARTA PUSAKA KEPADA WARIS

Kisah ini merentasi cabaran perniagaan dan menyentuh kepada masalah yang lebih mendalam iaitu konflik harta pusaka yang merumitkan. Pemilik perniagaan, yang juga merupakan pewaris kepada harta pusaka berkenaan mendapati diri mereka tidak mendapat keadilan dalam pertikaian dan ketidakseimbangan mengenai pemindahan harta pusaka tanpa panduan yang jelas.

Hak yang sepatutnya mereka warisi dinafikan hanya kerana tiada sumber rujuk yang sah. Hanya berdasarkan khabar telinga yang didengar secara lisan. Tiada pernyataan jelas daripada si ayah semasa hayat dek kerana tabu sikap Melayu apabila berbicara tentang mati.

Kesannya, waris cuba mencari noktah yang tertanam tanpa panduan nyata.

Dalam usaha mencari penyelesaian dan kestabilan, adalah penting untuk memahami nilai-nilai ihsan dan syariat Islam. Keberkatan harta menurut syariat Islam bukan sekadar berhubung dengan keuntungan material, tetapi melibatkan keadilan, keseimbangan dan amal kebajikan dalam pengurusan harta.

Sebagaimana yang diajar dalam hadis Rasulullah SAW, “Harta yang paling banyak mendatangkan keberkatan adalah yang paling sedikit dalam hisab (pencatatan),” hadis ini menggariskan bahawa pentingnya keberkatan dan keadilan dalam pengurusan harta.

Memberikan hak kepada waris adalah tanggungjawab kepada rakan niaga, hanya mereka yang jelas akan janji niaga yang telah termeterai. Barakah perlu dicari bukan dicuri. Harta pusaka perlu diuruskan bukan disorokkan.

Daripada kisah ini, kita memahami bahawa pentingnya perjanjian hitam putih dan nilai-nilai syariat Islam tidak hanya dalam konteks perniagaan, tetapi juga dalam pengurusan harta pusaka. Tanpa panduan yang jelas, cabaran yang dihadapi dapat meruncing, menghalang pertumbuhan dan menyebabkan pertikaian.

Adalah penting untuk membina asas yang kukuh melalui perjanjian yang jelas dan pemahaman mendalam terhadap nilai-nilai ihsan bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan keberkatan harta yang sejajar dengan prinsip-prinsip agama.

Oleh ABDUL HADI PILUS, Pengarah Komersial Mawarith Integrated Sdn Bhd (MiiM)

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysia Tribune

Show More

Related Articles

Back to top button