Penduduk Setia Jaya dibenar tinggal sehingga isu penempatan selesai
KUALA LUMPUR – Kira-kira 500 penduduk Kampung Setia Jaya, Setapak yang diarah mengosongkan penempatan didiami mereka sejak lebih 50 tahun dekat sini dibenarkan untuk tinggal di kawasan itu sementara isu penempatan tersebut dapat diselesaikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bersama pemilik tanah iaitu Yayasan Pendidikan Tunku Abdul Rahman (TAR) yang diwakili Lim Keng Cheng dan Yew Teong Look dalam perbincangan hari ini.
Katanya, pihak pemilik tanah itu sedia untuk membenarkan penduduk terus tinggal di kampung itu sehingga isu penempatan selesai.
“Perbincangan turut memberi fokus kepada isu penggantian rumah kepada penduduk dengan penyelesaian terbaik yang akan diperincikan dengan lebih lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Mahkamah Tinggi pada 19 Dis lalu memutuskan pemilikan tanah berkeluasan 60 ekar itu diberikan kepada Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) dan mengarahkan penduduk Kampung Setia Jaya mengosongkan tanah tersebut dalam tempoh 18 bulan.
Penduduk kampung yang mendakwa sudah tinggal di kampung tersebut sejak lebih 50 tahun bagaimanapun memohon campur tangan kerajaan bagi menyelesaikan kemelut tersebut.
Berdasarkan perbincangan antara penduduk dan KTAR sebelum ini, pemilik tanah itu hanya menawarkan pampasan sebanyak RM30,000 bagi diskaun pembelian rumah termasuk RM10,000 bagi tujuan perpindahan.
Manakala penduduk yang enggan menerima syarat pertama hanya akan diberikan pampasan bernilai RM30,000.