Berita SemasaLuar Negara

PBB ramal Gaza bakal hadapi kebuluran terburuk menjelang Februari

GAZA – Sistem pemantauan kebuluran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan setiap individu di Gaza yang sedang dilanda peperangan dijangka menghadapi tahap ketidakjaminan makanan tertinggi dalam tempoh enam minggu akan datang.

Berdasarkan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), sebanyak 2.2 juta penduduk Gaza diramalkan akan berdepan tahap kebuluran terburuk menjelang 7 Februari depan.

IPC mengukur tahap kebuluran melalui lima skala, iaitu daripada tahap satu hingga lima.

“Ini adalah tahap tertinggi bagi situasi ketidakjaminan makanan yang pernah diklasifikasikan oleh inisiatif IPC untuk mana-mana kawasan atau negara,” katanya memetik laporan AFP.

Sejak perang tercetus, kesedaran antarabangsa meningkat mengenai nasib penduduk Gaza yang setiap hari berdepan pengeboman, kekurangan makanan dan air serta terpaksa berpindah beramai-ramai.

Laporan itu memberi amaran bahawa kira-kira 50 peratus penduduk diramalkan berada dalam fasa ‘darurat’ termasuk kekurangan zat makanan akut yang sangat tinggi dan pertambahan kematian secara mendadak menjelang 7 Februari.

Selain itu, laporan sama turut meramalkan, sekurang-kurangnya satu daripada empat isi rumah atau lebih setengah juta orang akan menghadapi keadaan terburuk iaitu pada ‘tahap lima’.

“Walaupun tahap kekurangan zat makanan akut dan kematian berkaitan bukan trauma mungkin belum melepasi ambang kebuluran, ia lazimnya adalah hasil daripada jurang pengambilan makanan yang berpanjangan dan melampau,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button