Berita Semasa

UMNO sama sekali tidak setuju cadangan DAP adakan pilihan raya PBT

Tak perlu heret rakyat dalam politik yang tiada kesudahan

CYBERJAYA – UMNO sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan parti DAP untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sambil berkata, pilihan raya sedemikian tidak diperlukan sebaliknya tumpuan lebih perlu diberikan dalam menangani ekonomi rakyat dan memakmurkan negara.

“Rakyat tidak perlu diheret ke kancah politik perbalahan dan politik yang tiada kesudahan.

“Dahulu MCA dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) juga ada memberi pandangan serupa, namun UMNO tetap tidak bersetuju,” kata Asyraf Wajdi dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mencadangkan kepada kerajaan supaya memulakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya berkenaan bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

Katanya, pelaksanaan pilihan raya itu boleh dimulakan di Kuala Lumpur kerana wilayah berkenaan amat memerlukan demokrasi dalam proses merakyatkan sistem pentadbiran ibu negara.

Show More

Related Articles

Back to top button