Polis teliti rakaman dashcam bantu siasatan kes Allahyarham Zayn Rayyan
KLANG – Pihak polis sedang meneliti sejumlah rakaman video papan pemuka (dashcam) pemilik kenderaan di Apartmen Idaman, Damansara Damai dekat sini bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semakan tersebut adalah bagi memperoleh sebarang petunjuk baru berhubung kes tersebut.
“Ada sudah dashcam (diberikan) tetapi kita sedang review sebab dashcam ini kan lama dan panjang.
“(Berapa banyak dashcam diperoleh) Saya belum dapat jumlahnya lagi tetapi kita sudah terimalah,” katanya, hari ini.
Terdahulu, beliau hadir bagi menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) yang membawa gelaran Dato’ sempena Hari Keputeraan Sultan ke-78 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di sini hari ini.
Tambah Hussein, pihaknya percaya jenazah kanak-kanak autistik itu dibuang di lokasi ia ditemukan ketika waktu hujan sebelah petang pada Rabu lalu.
“Pagi hari yang sama, kita ada buat pencarian tetapi tidak jumpa. Jadi, kita jumpa malam dan percaya pada petang tersebut (dibuang penjenayah) sewaktu hujan lebat.
“Kita tidak jumpa barang (termasuk guni bagi membawa mayat) yang boleh menjurus kepada penjenayah. Kita masih berusaha mencari. Di situ pun banyak laluan tikus dan boleh parkir somewhere (di sekitar atau luar apartmen itu),” katanya lagi.
Hussein turut menolak menolak sebarang kemungkinan dan spekulasi mangsa telah dibuli sebelum ini.
“Tiada buli, cuma ada kecederaan due to struggle. Itu sahaja dan ada kesan jerut. Kita percaya ada sekurang-kurangnya seorang individu (terlibat). Kita sudah tengok semua angle, database polis, mass screening dan berharap akan menemukan petunjuk positif sehingga boleh tangkap penjenayah ini.
“Kita pun tidak mahu bekerja bawah spekulasi yang boleh memesongkan fokus kita. Beri ruang polis bekerja dengan faktalah,” katanya lagi.