FSTC diyakini dapat sediakan graduan sesuai dengan keperluan industri
BANGI – ‘Future Skills Talent Council’ (FSTC) yang dilancarkan baru-baru ini diyakini dapat menyelesaikan masalah ketidapadanan graduan institusi pendidikan tinggi (IPT) dengan keperluan industri.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud ketika menjelaskan fungsi FSTC berkata, keanggotaannya yang terdiri pihak akademia, pemain industri, dan wakil Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan menjadi kunci penyelesaian bagi cabaran bakat Malaysia.
“(Tugas) FSTC adalah untuk memfokuskan tumpuan pada bidang niche, terutamanya tecknologi baharu yg sekarang ini sedang rancak di seluruh dunia.
“Mereka akan melihat dan berbincang megenai keperluan industri, dan hasil daripadanya, mewujudkan kursus atau latihan tertentu yang dapat diajarkan di IPT atau di peringkat Pusat TVET bagi memenuhi keperluan itu.
“(Sudah tentu) Kita pun tidak mahu ketinggalan, terutamanya dalam bidang teknologi hijau, kenderaan elektrik, Kepandaian Buatan, teknologi hidrogen, dan macam-macam lagi,” kata Mustapha semalam.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Konvokesyen ke-9 Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), di sini.
Hadir sama, Presiden Persatuan Pusat Bertauliah SLDN, Datuk Joyah Abd. Rashid.
Dalam majlis tersebut, seramai 800 graduan daripada 22 pusat bertauliah dan syarikat menerima anugerah dalam bidang masing-masing.
SLDN yang mengambil model dari Jerman, merupakan satu kaedah latihan berlandaskan “industry driven” di mana ia dikendalikan melalui usahasama syarikat-syarikat dan institusi latihan menerusi kaedah Usahasama Pusat Latihan Kemahiran (PLK) dan Syarikat Latihan Dalaman (In-house).
Program ini membabitkan 70 peratus latihan praktikal, manakala 30 peratus lagi teori dan pembelajaran dalam kelas, berupaya melahirkan pekerja mahir (K-Workers) dan berpengetahuan tinggi selaras dengan keperluan industri yang memiliki tiga elemen kompetensi iaitu Teknikal, Sosial & Kemanusian dan Metadologi & Pembelajaran.