19 maut dalam serangan kartel dadah di penjara Mexico
MEXICO CITY – Serangan kumpulan bersenjata ke atas penjara Mexico menyebabkan 19 orang terbunuh manakala 25 banduan berjaya meloloskan diri, termasuk seorang ketua sindiket dadah, semalam.
Kenyataan dari pihak kerajaan berkata, jumlah yang maut dalam ‘serangan subuh’ itu melibatkan seramai 10 pengawal, tujuh banduan dan dua penyerang.
Menteri Pertahanan, Luis Cresencio Sandoval berkata, kejadian di penjara yang terletak di Ciudad Juarez berhampiran sempadan dengan Amerika Syarikat itu sebelum ini meragut nyawa 14 orang.
Sandoval berkata, antara banduan yang melarikan diri termasuk Ernesto Alfredo Pinon, yang dikenali sebagai “El Neto”, ketua kumpulan yang bersekutu dengan kartel dadah Juarez.
Pinon dijatuhi hukuman penjara lebih 200 tahun pada 2010 kerana menculik dan membunuh, menurut pejabat pendakwa negeri Chihuahua.
Menteri Keselamatan, Rosa Icela Rodriguez berkata, serangan menggunakan kenderaan berperisai itu dilaku ketika ahli keluarga banduan beratur untuk pertemuan sempena tahun baharu.
Ciudad Juarez, yang terletak di seberang sempadan dari El Paso, Texas, telah menyaksikan pertempuran ganas selama bertahun-tahun antara pasukan keselamatan dan kartel dadah saingan.
Penjara itu sendiri telah menyaksikan beberapa pencerobohan, pertempuran dan rusuhan termasuk insiden pada Mac 2009 yang meragut nyawa 20 orang mati.
Penjara-penjara di Mexico mengalami kesesakan dan keganasan yang kronik menjadi bertambah buruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini akibat konflik antara kumpulan jenayah.