Bisnes & Ekonomi

Co-opbank Pertama buka cawangan baharu di Miri

KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) hari ini membuka cawangan yang ke-31 di Miri, Sarawak.

Majlis perasmian cawangan baharu itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rusli Jaafar.

Turut hadir ialah Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi; Timbalan Pengerusi CBP, Nor Hidayah Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar,

Dalam pada itu Baharom berkata, pembukaan cawangan ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat selain seiring dengan perancangan strategik CBP untuk
mengembangkan lagi perniagaan.

“Ini merupakan cawangan CBP yang kedua di negeri Sarawak selepas Kuching, dan yang ketiga adalah cawangan Matang Jaya yang akan dibuka pada suku pertama 2024 sejajar dengan strategi CBP untuk membawa produk dan perbankan terus kepada penduduk di Bumi Kenyalang ini,” katanya ketika berucap di majlis perasmian berkenaan.

Beliau berkata selain Sarawak, CBP juga turut mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan di Sandakan dan Papar, Sabah serta Jerteh, Terengganu pada suku pertama tahun 2024.

Tambah Baharom lagi, CBP kini dalam perancangan untuk mempunyai
sekurang-kurangnya 36 buah cawangan di seluruh negara menjelang tahun 2026
seperti yang dirancang di dalam Pelan Strategik CBP 2022-2026 yang telah
dilancarkan pada 31 Mei 2022 dengan memperkenalkan beberapa produk dan model perniagaan baharu bagi memenuhi keperluan anggota serta pelanggan CBP.

“CBP berharap dengan pertambahan cawangan di Sabah dan Sarawak, penduduk setempat dapat memberi sokongan sepenuhnya kepada produk dan perkhidmatan yang ditawarkan selain anggota dan pelanggan sedia ada dapat menjalankan urusan dengan mudah,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button