Berita Semasa

5 pengendali rangkaian mudah alih meterai SSA dengan DNB

KUALA LUMPUR – Lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO) hari ini memeterai perjanjian langganan saham (SSA) untuk memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB).

Lima pengendali rangkaian itu ialah CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) menerusi Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Power International Bhd (YTL).

Pemeteraian perjanjian ini telah berlangsung di TRX Exchange 106 dengan disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Menurut DNB dalam satu kenyataan, pemeteraian itu tertakluk kepada penilaian wajar, akan membolehkan pihak pengendali rangkaian untuk memiliki 70 peratus pegangan saham dalam DNB secara kolektif, atau 14 peratus pegangan saham secara individu.

“Kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memiliki 30 peratus baki pegangan ekuiti dalam DNB dan pegangan saham khas.

“Setiap MNO yang memeterai perjanjian SSA ini akan menyuntik RM233 juta ke dalam DNB, yang akan digunakan untuk memenuhi keperluan pembiayaan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia,” katanya.

DNB

Dalam pada itu katanya, pemeteraian perjanjian ini merupakan suatu pencapaian penting yang dicapai oleh Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia.

Jelasnya, pasukan petugas ini dianggotai oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), DNB serta pihak MNO.

Pasukan Petugas tersebut ditubuhkan pada 9 Mei 2023 dengan objektif utama untuk memastikan kelancaran peralihan daripada model Rangkaian Borong Tunggal kepada model dwirangkaian.

Setakat penghujung Oktober 2023, langganan perkhidmatan 5G di Malaysia adalah berjumlah 3.6 juta dengan kadar penerimagunaan pada tahap 10.8 peratus.

Bagi meningkatkan kadar penerimagunaan 5G dalam kalangan pengguna, kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi telah memperkenalkan Pakej 5G Rahmah
bermula Ogos 2023.

Show More

Related Articles

Back to top button