Polis tahan individu dipercayai ibu bapa empat beradik ditinggalkan
IPOH – Dua individu dipercayai ibu dan bapa kepada empat beradik yang ditinggalkan di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah dekat Kampung Gajah pada 23 November lepas, berjaya ditahan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt. Hafezul Helmi Hamzah berkata, kedua-dua individu itu ditahan dalam tangkapan berasingan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kampung Gajah.
Hafezul berkata, suspek pertama iaitu seorang lelaki dittahan pada Isnin.
“Polis turut merampas sebuah motosikal Modenas Kriss berwarna biru serta pakaian yang digunakan lelaki itu semasa kejadian.
“Polis juga turut berjaya menahan seorang wanita semalam dan merampas sebuah telefon bimbit. Kedua-dua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah untuk siasatan lanjut kes ini,” katanya dalam kenyataan satu kenyataan, hari ini.
Hafezul Helmi berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 33 (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak ditinggalkan tanpa pengawasan yang sewajarnya.
Menurutnya, siasatan berkenaan kejadian itu masih dijalankan dan orang awam dinasihatkan untuk tidak menyebarkan sebarang maklumat atau berita tidak sahih yang boleh menggusarkan masyarakat setempat.