Berita Semasa

KPM tambah bilangan warden asrama bagi cegah kes buli

KUALA LUMPUR – Bagi mencegah kes buli dalam kalangan pelajar, jumlah warden telah ditambah sebanyak 63 peratus sejak 1 Ogos 2022 dengan purata tiga warden ditempatkan di setiap asrama, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Menurut Fadhlina, Kementerian Pendidikan (KPM) juga mengadakan kempen peningkatan kemahiran kepada warden serta ketua warden dari semasa ke semasa, selari dengan tugas mereka seperti yang tertakluk dalam Garis Panduan Tadbir Urus Sekolah (MySG).

“Selain itu, kementerian melaksanakan sistem rumah di asrama sebagai antara usaha menghasilkan modal insan yang mempunyai kecemerlangan ilmu, kemampanan sahsiah dan kesejagatan kepimpinan, serta melakukan program sahsiah unggul murid di sekolah menengah.

“Kami telah menjalankan semua program itu, termasuk perkara yang dilaksanakan bawah Garis Panduan Intervensi Buli, di semua institusi KPM,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) berhubung langkah pencegahan yang diambil oleh kementerian supaya kes buli tidak berlaku.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM sentiasa memandang serius mengenai soal kebajikan dan keselamatan murid bawah kementerian itu, termasuk yang berkait isu berkenaan.

Katanya, bagi kes buli yang berlaku di sekolah, mangsa serta pelaku akan dirujuk kepada guru Bimbingan dan Kaunseling untuk sesi kaunseling, selain kementerian turut mempunyai pasukan bagi menangani isu terbabit.

Show More

Related Articles

Back to top button