Rakyat Malaysia berjaya dibawa keluar dari Gaza
PUTRAJAYA – Warga Malaysia yang berada di kawasan konflik di Gaza, Nurul Ain Haron bersama suami, warga Palestin Mohamed A M Shaat selamat dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah pada pukul 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia), pada Ahad.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, ketibaan Nurul Ain dan suami di Lintasan Sempadan Rafah telah dimudah cara oleh Duta Besar Malaysia ke Kaherah bersama pegawai-pegawai kedutaan yang lain.
“Sejurus tiba di Lintasan Sempadan Rafah, Nurul Ain telah dihubungi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir untuk bertanya khabar melalui panggilan video,” kata kenyataan itu, hari ini.
Tindakan evakuasi itu dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan di antara Anwar dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi semasa lawatan ke republik itu pada 23 Oktober yang lalu.
Penyelarasan lanjut turut dilakukan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman.
“Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mereka,” kata KLN.
Dalam pada itu, kementerian turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Mesir, Qatar, Kedutaan Besar Mesir dan Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur atas jalinan kerjasama serta keutamaan yang telah diberikan kepada Malaysia dalam usaha menjalankan proses evakuasi warganegara Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza dengan selamat.