PM janji kesejahteraan yang saksama untuk masyarakat India
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan sentiasa memastikan pembangunan sosio ekonomi, pengagihan kekayaan dan bantuan kepada golongan yang memerlukan disampaikan secara saksama, cekap dan tuntas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan sempena sambutan Deepavali berkata, perayaan yang diraikan oleh masyarakat Hindu itu merupakan salah satu ‘jalan’ dalam pembangunan Malaysia yang madani, saling menghormati dan kerukunan antara kaum.
Sempena sambutan Deepavali pada Ahad ini, Anwar berkata, beliau akan berusaha memastikan kebajikan dan tahap hidup masyarakat India akan terus ditambah baik.
“Nikmat dan khazanah negara mesti dirasai semua secara adil dan saksama.
“Saya ucapkan “Deepavali Nal Valthukal” (Selamat
Hari Deepavali) kepada seluruh penganut Hindu di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Anwar berkata, Deepavali yang diraikan sebagai ‘pesta cahaya’ adalah simbolik kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan atas kebobrokan serta kekuatan ilmu mengatasi kejahilan dan keangkuhan.
Justeru katanya, kemajmukan budaya di negara ini harus dipertahan tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak.
“Sebarang percubaan untuk melemahkan tiang masyarakat ini mesti dipatahkan dengan sikap beserta nilai dan budi pekerti yang tinggi,” katanya.