MiiM lantik Lariba sebagai penasihat syariah
CYBERJAYA – Lariba Consulting dilantik sebagai penasihat syariah oleh Mawarith Integrated Sdn Bhd (MiiM) yang merupakan syarikat perkhidmatan pewarisan harta digital, pusaka dan hibah aset.
Pengarah Komersial MiiM, Hadi Pilus berkata, perlantikan itu menggambarkan hasrat MiiM untuk memastikan amalan syariah yang terbaik dalam semua aspek operasi syarikat.
“Lariba Consulting diwakili oleh ustaz Abd Aziz, yang juga dikenali sebagai Ustaz Lariba dalam kalangan komuniti syariah, adalah sebuah entiti yang terkenal dengan kepakaran mereka dalam pematuhan syariah.
“Mereka mempunyai pengalaman luas dalam menilai, menasihati, dan mengawasi pelaksanaan prinsip-prinsip syariah dalam perniagaan,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Dalam pada itu katanya, kerjasama dengan Lariba Consulting juga dapat membantu pihaknya memperbaiki perkhidmatan dalam perkhidmatan pewarisan harta yang semakin berkembang.
Hadi berkata, pihaknya berharap kerjasama itu akan membawa manfaat kepada pelanggan dan memberikan mereka keyakinan yang lebih besar dalam perkhidmatan yang diberikan MiiM.
“Pengumuman ini adalah satu langkah yang membawa harapan besar kepada pelanggan MiiM, kerana menunjukkan kesungguhan syarikat dalam memastikan perkhidmatan mereka adalah selari dengan nilai-nilai syariah yang ketat.
“Ini juga memberikan jaminan kepada pelanggan bahawa MiiM bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang telus dan sah dari segi syariah. Dalam dunia yang semakin kompleks, ini adalah satu langkah penting dalam memastikan kejayaan dan keberterusan MiiM dalam menyediakan perkhidmatan pewarisan harta secara digital yang selamat dan sah dari segi syariah,” katanya.
Sementara itu, Abd Aziz, yang mewakili Lariba Consulting berbesar hati dengan peluang untuk bekerjasama dengan MiiM dalam aspek syariah.
“Kami komited untuk membawa pandangan dan kepakaran kami untuk memastikan pematuhan yang ketat terhadap prinsip-prinsip syariah dalam setiap aspek operasi MiiM,” ujarnya.