Solidariti kepada Palestin di Bukit Jalil esok
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia untuk hadir beramai-ramai ke Axiata Arena, Bukit Jalil di sini untuk bersama-sama menyokong rakyat Palestin.
Perdana Menteri berkata, Perhimpunan Bersama Palestin itu akan diadakan bermula pukul 7.30 malam esok.
“Ayuh seluruh rakyat Malaysia turun ke Axiata Arena, Bukit Jalil esok malam sebagai tanda solidariti kita bersama rakyat Palestin,” katanya dalam satu hantaran dalam laman media sosial rasminya.
Program itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti persembahan serta ucapan pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Selain itu orang ramai digalakkan memakai pakaian berwarna putih.
Perdana Menteri kini kini berada di Kaherah, Mesir bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden Abdel Fatah El-Sisi untuk membincangkan penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin menerusi sempadan Rafah.
Sejak lebih dua minggu Gaza diserang dan dibom tanpa henti, sekurang-kurangnya 4,651 penduduk di wilayah itu terkorban dan lebih 13,000 cedera.
Lebih memburukkan keadaan apabila lokasi yang menjadi tempat perlindungan untuk orang awam seperti di hospital dan rumah ibadat turut dibedil rejim Zionis.