Perdana Menteri bertemu Menteri Kewangan Turkiye
ISTANBUL – Perdana Menteri, Datuk, Seri Anwar Ibrahim hari ini bertemu Menteri Kewangan Turkiye, Mehmet Şimşek dalam lawatan kerjanya selama dua hari di negara itu.
Pertemuan Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berlangsung di Hotel Shangri-La Bhosphorus, Istanbul.
Beliau berkata, perbincangan dalam pertemuan itu tertumpu kepada usaha mendepani cabaran ekonomi global.
“Kami turut meneroka peluang-peluang baharu ekonomi, selain membincangkan aspek pertahanan dan keselamatan serta usaha mengembang potensi pelaburan dan perdagangan dalam lapangan pembangunan teknologi dan pelancongan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Şimşek merupakan kenalan rapat Anwar yang banyak memberi sumbangan menjalinkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu.
Seterusnya Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan dan Pengarah Pertubuhan Perisikan Kebangsaan Turkiye Ibrahim Kalin selepas itu.
Kemuncak lawatan Perdana Menteri ke republik itu ialah bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Istana Vahdettin jam 3 petang waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia).
Ia bagi membincangkan isu peperangan yang berlaku antara Palestin dan Israel serta kerjasama yang dapat dilakukan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Palestin terus terbela.