Berita Semasa

Rakyat Malaysia diperdaya sindiket pemerdagangan manusia meninggal di Myanmar

KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan imigresen Myanmar selepas diselamatkan daripada menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di negara itu.

Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28, yang sudah beristeri dan mempunyai dua anak disahkan meninggal dunia pada 14 Oktober lalu di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar.

Mangsa yang berasal dari Kuantan, Pahang itu sebelum ini dipercayai diperdaya oleh kumpulan sindiket telah menaiki penerbangan ke Bangkok, Thailand dan kemudian diculik ke Myanmar melalui jalan darat.

Mangsa kemudian dibantu oleh seorang rakyat Malaysia di negara itu untuk menghubungi wakil Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO), dan berjaya diselamatkan.

Menurut adik mangsa, Muhammad Hasmanizam, abangnya telah dihantar ke imigresen Myanmar selepas diselamatkan namun meninggal dunia ketika dalam tahanan.

Katanya, mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung walaupun abangnya itu tidak pernah mempunyai sebarang penyakit serius.

Melalui rakaman perbualan yang dikongsikan MHO di Facebook hari ini, mangsa sebelum meninggal dunia sempat menghubungi Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim untuk berkongsi cerita.

https://malaysiatribune.news/2023/10/16/rakyat-malaysia-diperdaya-sindiket-pemerdagangan-manusia-meninggal-di-myanmar/

Mangsa mendakwa dia diarah menguruskan sendiri perjalanan masuk ke Myanmar dari Bangkok melalui Chiang Rai oleh seorang individu yang dikenali di Facebook untuk tujuan perniagaan.

“Saya sepatutnya bertemu dia di Kuala Lumpur tetapi dia kata dia terpaksa terbang dahulu ke Bangkok dan ajak bertemu di sana.

“Saya ditempatkan di hotel sehingga 5 hari. Kemudian masa itulah saya baru tahu (Internet) ada banyak kes pemerdagangan manusia di Myanmar.

“Silap saya tak pernah selidik dan tak pernah dengar pasal benda ini, saya kerja mesin rumput dan bawa Food Panda sahaja di Kuantan,” katanya.

Selepas diselamatkan, Muhammad Izzat telah dibawa ke Pejabat Polis Myanmar untuk urusan dokumentasi dan meninggal dunia dalam tahanan.

Menurut adik mangsa, jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Yangon.

Hishamuddin dalam kenyataannya mencerugai punca sebenar kematian mangsa dan mengesyaki ada perkara yang cuba disembunyikan.

“Ini menimbulkan tanda tanya. Adakah benar punca kematian mangsa adalah sakit jantung. Atau ada sebab lain yang cuba disembunyikan.

“MHO telah meminta kepada keluarga mangsa untuk membuat laporan polis dan kedutaan Malaysia di Myanmar dan juga Kementerian Luar Negeri Malaysia dan menggesa suatu siasatan yang telus dan berintegriti bagi mendapatkan maklumat yang benar punca kematian mangsa ketika didalam jagaan polis Myanmar.

“MHO akan terus bertindak supaya ada keadilan kepada mangsa,” menurut kenyataan itu lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button