Berita Semasa

Langkah pertama pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya telah dimulakan

PUTRAJAYA – Langkah pertama dalam usaha mereformasi pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya telah bermula menerusi satu sesi libat urus melibatkan beberapa jawatankuasa dan kementerian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sesi libat urus itu diadakan bagi membincangkan mengenai kajian literatur amalan terbaik yang meliputi sembilan negara.

Menurut beliau, negara berkenaan adalah England dan Wales, India, New Zealand, Australia, Kanada, Afrika Selatan, Ireland, Kenya dan Amerika Syarikat.

“Saya menyeru semua pihak terus memberikan sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Perpaduan bagi memastikan usaha pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya ini dapat dilaksanakan dengan mengambil kira semua aspek secara menyeluruh,” kata Azalina dalam satu kenyataan, hari ini.

Sesi libat urus tersebut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Karpal Singh; Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, William Leong Jee Keen; Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang; Kementerian Kewangan Malaysia; Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Isnin lalu, Azalina di Dewan Rakyat memaklumkan kajian bagi melaksanakan perkara itu akan melalui tiga fasa, mengambil kira kompleksiti dan cabaran dihadapi serta memastikan ia dibuat secara terperinci dan holistik.

Selain itu, kajian yang dilaksanakan dua pasukan yang ditubuhkan iaitu Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal akan memastikan pengasingan itu dapat dilaksanakan tanpa sebarang pengaruh politik dan urusan undang-undang di bawah peguam negara dan pendakwa raya dilaksanakan secara telus.

Show More

Related Articles

Back to top button