Amerika, Mesir, Israel bincang wujudkan koridor selamat di Gaza
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) sedang berbincang bersama Mesir dan rejim Zionis Israel untuk mewujudkan satu koridor selamat bagi penduduk Gaza.
Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, Jake Sullivan berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dan belum ada sebarang keputusan awal mengenainya, lapor portal Guardian.
“Perincian perbincangan itu juga tidak dapat didedahkan kerana ia masih dalam perbincangan agensi yang terlibat dan saya tidak ingin mendedahkannya buat masa ini.
“(Bagaimanapun) kami amat fokus (dalam mewujudkan koridor selamat), dan masih berbincang,” kata Sullivan ketika taklimat media di Rumah Putih pada Selasa.
Ketika disoal mengenai kehilangan nyawa orang awam, Sullivan berkata serangan rejim Zionis tidak menyasarkan kedudukan awam.
“Kami sudah memastikan sebarang operasi ketenteraan mematuhi undang-undang awam dan peperangan,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan 900 penduduk Palestin di tebing berkenaan maut manakala 4,600 lagi tercedera sejak serangan udara rejim Zionis bermula pada Sabtu.