Berita Semasa

Permohonan, pembaharuan sijil halal kini hanya ambil masa 23 hari bekerja – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia hari ini menetapkan prosedur permohonan dan pembaharuan sijil halal kini dipendekkan kepada 23 hari bekerja.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses pemudahan itu dibuat susulan banyak aduan diterima bahawa kelulusan dan pengeluaran sijil halal mengambil masa yang terlalu lama.

“Ada yang mengadu bahawa pengeluaran sijil halal terlalu lewat sehingga mengakibatkan kelewatan dalam pengedaran produk halal untuk pasaran domestik dan luar negara, malah ada yang mendakwa sijil halal dikeluarkan selepas sembilan bulan daripada tarikh permohonan dibuat.

“Hari ini, majlis membuat keputusan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) bekerjasama secara intim bagi memendekkan tempoh permohonan itu kepada 23 hari bekerja sahaja,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia, di sini hari ini.

Beliau menambah, sebagai permulaan kepada keputusan itu, HDC serta pihak berkaitan akan melaksanakan proses permohonan baharu sijil halal menerusi ‘proof of concept’ (POC) membabitkan lima premis perhotelan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi melihat kelancaran proses berkenaan.

“Kita juga akan menganjurkan bengkel untuk memberi penerangan mengenai prosedur permohonan berkenaan pada 9 Oktober ini di Universiti Malaya (UM).

“Jadi saya menjemput semua pihak terutama pemegang taruh untuk hadir menyertai bengkel berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat hari ini bersetuju untuk memperkasakan diplomasi halal dengan kerjasama Kementerian Luar serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mempromosikan produk halal tempatan ke luar negara.

“Kita harus keluar dari kepompong pasaran domestik, Kementerian Luar dan MITI akan perkasa diplomasi halal secara bersama.

“Jadi dalam lawatan rasmi atau kerja kelak, menteri serta Perdana Menteri akan terbabit (mempromosi) produk dan perkhidmatan halal tempatan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button