PM komited terjemah kejayaan di New York kepada kemakmuran ekonomi Malaysia
SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selamat tiba ke tanah air selepas selesai misi negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-78 di New York, Amerika Syarikat.
Pesawat yang membawa pemimpin negara itu tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira pukul 5 petang.
Ketibaan Anwar dan delegasi disambut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta para penyokong.
“Terima kasih atas sokongan dan titipan doa rakyat Malaysia yang mengiringi langkah kami di sana.
“Fokus kini pastinya ke arah menopang isu rakyat dan memastikan kesinambungan kejayaan di New York diterjemah kepada kemakmuran ekonomi Malaysia. Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran dalam laman media sosial rasminya hari ini.
Sepanjang berada di New York, Anwar telah mengadakan pertemuan dan berinteraksi bersama 15 syarikat terkemuka AS yang tersenarai dalam Fortune 500 termasuk Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, Boeing, ConocoPhillips dan Kimberly-Clark di Harvard Club.
Pada acara Invest Malaysia New York yang dihadiri para pelabur pasaran modal ekuiti dan bon dengan nilai aset di bawah pengurusan mencecah AS$40 trilion.
Lawatan itu juga memberi peluang kepada Anwar untuk berkongsi dasar dan aspirasi Malaysia terkait hubungan antarabangsa.