Jenayah & Mahkamah

Polis buru lelaki warga asing disyaki tetak kanak-kanak hingga maut

CYBERJAYA – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memburu seorang lelaki warga asing kerana disyaki menetak seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di halaman rumahnya di perumahan pekerja Felda Sahabat 30, Lahad Datu, pagi semalam.

Ketua Polis Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika kanak-kanak itu, yang juga seorang warga asing ditinggalkan ibu bapanya bersama suspek kerana keluar bekerja di ladang sawit, kira-kira 7.30 pagi.

Katanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kejadian.

“Siasatan di tempat kejadian menemui mayat kanak-kanak lelaki dalam keadaan berlumuran darah.

“Terdapat kesan tetakan objek tajam dipercayai parang pada belakang kepala, hadapan dan belakang leher serta putus tapak tangan kiri mangsa,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

“Sehubungan itu, pihak polis sedang giat mengesan seorang lelaki warga asing dikenali sebagai Paulus Poka Lolo berusia 33 tahun dan bekerja sebagai pekerja am di ladang kelapa sawit berkenaan bagi membantu siasatan,” kata Rohan Shah yang menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai terutama penduduk sekitar untuk mengesan suspek dengan menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad, Datu Kharuddin Husain di talian 013-9071709.

Show More

Related Articles

Back to top button