Berita Semasa

Muhyiddin selesai beri keterangan – PDRM

Polis turut rakam keterangan Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai merakam keterangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, keterangan bekas perdana menteri itu diambil susulan laporan dibuat 7 Sept lalu, berkait ucapan semasa berceramah pada PRK DUN Simpang Jeram.

“Semua soalan dijawab Muhyiddin,” katanya dalam satu sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.

Terdahulu, pihak media melaporkan, Muhyiddin tiba di bangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia pada 9 pagi untuk temujanjinya dengan polis, berkait kenyataan mendakwa orang Melayu akan hilang kuasa.

Beliau kemudiannya dilihat keluar dari bangunan itu pada pukul 11.58 pagi.

Shuhaily mengesahkan, siasatan dijalankan susulan kenyataan Ahli Parlimen Pagoh tersebut ketika ceramah mega PN pada 3 Sept, yang turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau dan calon PN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya.

Beliau berkata, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Zaid Ibrahim turut dirakam keterangan hari ini, berhubung ciapan di laman X miliknya, Ogos lalu.

“Ucapan ini dibuat (pada) 30 Ogos. Kenapa kita ambil masa panjang untuk ambil keterangan beliau, kerana kita terpaksa sahkan itu akaun sah dan dibuat orang yang kita syaki, Zaid sendiri, sebab itu ambil sedikit masa,” jelas Mohd Shuhaily.

Beliau kemudiannya menambah, kedua-dua mereka memberikan kerjasama baik kepada polis sepanjang proses merakam keterangan.

Show More

Related Articles

Back to top button