Jenayah & Mahkamah

Najib, Arul Kanda kekal bebas tuduhan pinda laporan 1MDB

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan mengekalkan pembebasan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy daripada tuduhan salahguna kuasa dan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata, dua notis rayuan pendakwaan ditolak kerana gagal menfailkan petisyen rayuan sebelum tarikh akhir rayuan iaitu 6 Julai.

“Berdasarkan kronologi, terdapat tiga pengurusan kes (berhubung rayuan) dan perayu (pendakwaan) telah diingatkan agar memfailkan petisyen tetapi telah gagal untuk mematuhi perintah mahkamah.

“Apabila petisyen gagal difailkan difailkan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan tida permohonan untuk lanjutan masa, maka notis rayuan dianggap telah luput dan terbatal.

“Oleh itu, kedua-dua notis rayuan dibatalkan. Kita ikut undang-undang ya,” kata Hadhariah dalam penghakimannya, hari ini.

Pada 3 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) melepas dan membebaskan Najib dan Arul Kanda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb, 2016.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Presiden UMNO itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Show More

Related Articles

Back to top button