Petisyen PRU Masjid Tanah, 2 saksi dikenakan waran tangkap kerana tidak hadir
CYBERJAYA – Mahkamah Pilihan Raya Melaka hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu, Akmal Zahin Zainal Zahir selepas beliau gagal hadir sebagai saksi perbicaraan.
Laporan portal Malaysiakini berkata, waran tangkap turut dikeluarkan terhadap bekas setiausaha sulit Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, Noor Hashimah Noordin, kerana turut gagal hadir sebagai saksi.
Menurut laporan, kedua-duanya sepatutnya hadir di mahkamah hari ini bagi memberi keterangan dalam petisyen calon Barisan Nasional (BN) Abdul Hakim Abdul Wahid yang mencabar kemenangan Mas Ermieyati bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Menurut peguam, Abdul Hakim Amin Othman, semasa perbicaraan, satu video dikemukakan yang didakwa menunjukkan Akmal menyerahkan satu bungkusan didakwa mengandungi wang kepada pengundi.
Pada 7 Feb lalu, Hakim Mahkamah Pilihan Raya Melaka, Anselm Charles Fernandis membenarkan bantahan awal Mas Ermieyati untuk membatalkan petisyen pilihan raya Abdul Hakim.
Bagaimanapun, pada 2 Mei, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Abdul Hakim untuk mengembalikan semula tindakan undang-undang, dan memerintahkan petisyen itu dikembalikan ke mahkamah tinggi untuk perbicaraan penuh di hadapan hakim lain.