SSPA: 85 peratus penjawat awam setuju terima skim baharu
PUTRAJAYA – Sebanyak 85 peratus penjawat awam sudah menandatangani penerimaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal berakhir pada 30 November ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, setakat ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan berusaha memastikan baki 15 peratus lagi juga akan mengikuti langkah yang sama.
Jelasnya, mereka yang masih tidak menyatakan persetujuan menyertai skim berkenaan akibat terpengaruh dengan beberapa maklumat yang kurang tepat yang disebarkan di media sosial.
“Ikutlah portal JPA, ikutlah sesi libat urus oleh JPA, jangan dengar cakap kawan di media sosial, kadang-kadang mereka ini bukan kerja kerajaan jadi macam mana mereka nak faham.
“JPA akan bertungkus lumus untuk buat penerangan sebab mungkin ramai yang masih tak berapa jelas (SSPA),” katanya.
Shamsul Azri berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani, di sini hari ini.
SSPA bakal menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang bakal mula berkuat kuasa 1 Disember ini.
JPA juga sebelum ini telah mewujudkan Pusat Panggilan Setempat SSPA bagi membantu penjawat awam mendapatkan penjelasan berkaitan sebarang persoalan atau kekeliruan mengenai sistem skim berkenaan.