Lebih 3,600 peserta IPR INTAN berjaya tingkatkan pendapatan – Rafizi Ramlli
KUALA LUMPUR – Setakat September tahun ini, sebanyak 2,742 ekar tanah-tanah kerajaan telah dibuka bagi menjayakan Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)-Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), yang melibatkan 3,628 peserta di seluruh negara.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, sejak inisiatif itu dilancarkan pada tahun lepas, Kementerian Ekonomi telah berusaha sebaik mungkin untuk memperluaskan tapak-tapak IPR di seluruh Malaysia.
“Sekarang kita tahu tanam cili, nanas dan tanaman kontan lain boleh menjana hasil melebihi RM5,000 sebulan. Permohonan orang ramai untuk menyertainya pun banyak.
“Walau ada yang mencemuh, tetapi usaha kerajaan membasmi kemiskinan dan memberi peluang menjana pendapatan, terutamanya kepada penduduk luar bandar adalah berkesan, berbanding dengan memberi wang semata-mata tanpa membantu mereka membina peluang pendapatan,” katanya dalam satu ciapan di X milik beliau hari ini.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, walaupun ada segelintir pihak yang menuduh IPR INTAN ini hanya ‘gimik’ dan tidak memberi kebaikan kepada rakyat keseluruhannya, namun jumlah penyertaan membuktikan sebaliknya.
Jelas Rafizi, Sabah merekod bilangan tertinggi dengan 327.7 hektar dan 770 peserta, diikuti Perlis Chuping, 285.7 hektar (669 peserta); Terengganu (164.7 hektar, 713 peserta); Kelantan (76 hektar, 376 peserta) serta Pahang, 53.4 hektar dan 265 peserta.
Selain itu, Perak merekodkan 48 hektar dan 156 peserta, Johor (52 ekar, 104 peserta); Kedah (67 ekar, 130 peserta); Negeri Sembilan (21 hektar, 80 peserta) serta Putrajaya dengan 4.04 hektar dan 20 peserta.
Tambah Rafizi, IPR INTAN yang diluluskan telah dilaksanakan di atas tanah-tanah Kerajaan Persekutuan yang tidak digunakan dan sebahagiannya di tanah kerajaan negeri.
“Jika anda mahu melihat lebih banyak projek IPR dibuka di kawasan anda, saya mohon juga bantuan anda untuk maklumkan kepada kerajaan negeri masing-masing untuk menawarkan tanah melalui kerjasama dengan Kementerian Ekonomi, terutamanya negeri-negeri yang masih banyak tanah,’ jelas beliau.